KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dokumen Lembaga Pengampunan yang dikategorikan sebagai rahsia rasmi sememangnya perlu kekal sulit, kecuali apabila terdapat keperluan undang-undang untuk menyahklasifikasikannya bagi tujuan prosiding mahkamah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas,Fadhli Shaari pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, proses penyahklasifikasian dalam isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak berlaku kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menyediakan jawapan terhadap permohonan yang difailkan di mahkamah.
“Kalau dikategori rahsia, dia memang harus kekal rahsia. Tapi soalnya mengapa Peguam Negara mohon untuk dinyahrahsiakan, itu kerana ada permohonan di mahkamah dan keputusan dia untuk menjawab,” katanya.
Sebelum ini, minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan Najib dilaporkan dinyahklasifikasikan bagi membolehkan AGC memasukkan butiran tertentu dalam afidavit balas terhadap cabaran undang-undang.
Anwar bagaimanapun membezakan proses penyahklasifikasian tersebut dengan penyebaran dokumen kepada umum sebelum ia dikemukakan secara rasmi di mahkamah.
“Siapa yang mengedarkan itu, saya percaya KDN harus siasat. Bagaimana perkara ini boleh tersebar awal,” katanya.
Beliau menambah, sebaik sahaja sesuatu dokumen dikemukakan dalam prosiding mahkamah, kandungannya berpotensi diketahui umum melalui proses kehakiman.
Anwar turut menolak dakwaan bahawa kerajaan menjadi pihak yang mengedarkan minit berkenaan.
“Jangan buat tohmahan sampai mengatakan kerajaan edar. Tidak ada. Tidak benar,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa apa yang berlaku ialah Peguam Negara menyediakan jawapan terhadap cabaran di mahkamah dan proses penyahklasifikasian dibuat bagi memenuhi keperluan tersebut.
Anwar sebelum ini turut berkata penyahklasifikasian dokumen Lembaga Pengampunan bukan sesuatu yang luar biasa apabila sesuatu keputusan atau proses dicabar di mahkamah, termasuk seperti yang pernah berlaku dalam kes beliau sendiri.








