KUALA LUMPUR – Istana Negara menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah jelas dan tidak mempunyai sebarang kekaburan yang boleh menimbulkan pertikaian.
Menerusi kenyataan rasmi hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta, telah diperkenankan selepas mendapat nasihat Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu.
Menurut Istana Negara, perintah berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak mempunyai kaitan dengan kes lain yang dihadapi Najib.
Baginda turut menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya perlu dihormati selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan tindakan Jabatan Peguam Negara menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib pada Jumaat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah pengampunan bersyarat.
Najib dilaporkan telah menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta pada 6 November, namun pelaksanaan tahanan rumahnya masih ditangguhkan sementara menunggu penelitian lanjut.







