KUALA LUMPUR– Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya mahu mahkamah memperjelas kesan perundangan perintah pelepasan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi kenyataan hari ini, AGC menyifatkan dakwaan bahawa Peguam Negara melampaui bidang kuasa atau mengingkari titah Seri Paduka Baginda sebagai serius dan boleh mengelirukan masyarakat.
“AGC menegaskan bahawa ia tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat untuk menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.
AGC menjelaskan persoalan berkenaan timbul selepas Najib membayar denda RM50 juta pada 6 November lalu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah pelepasan pada tarikh sama.
Menurutnya, penentuan diperlukan sama ada pelepasan tersebut membolehkan baki hukuman kes SRC International dijalani melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 atau membawa maksud hukuman berkenaan telah selesai.
Perbezaan tafsiran itu turut memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MDB yang diperintahkan bermula selepas hukuman SRC International selesai.
“AGC berpandangan bahawa persoalan berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 wajar dirujuk dengan segera kepada Mahkamah untuk mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas,” menurut kenyataan tersebut.
AGC menegaskan langkah itu bukan bertujuan melengahkan pelaksanaan pengampunan, sebaliknya memastikan semua perintah dilaksanakan secara sah, selain melindungi hak Najib serta menghormati institusi diraja dan kebebasan badan kehakiman.







