KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kesesuaian pelaksanaan kawalan pergerakan terhadap komuniti pelarian Rohingya di negara ini dengan mengambil kira aspek keselamatan, kedaulatan negara dan hak asasi manusia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebarang ketetapan berhubung perkara itu akan dibuat dengan mempertimbangkan kepentingan semua pihak.
Beliau berkata, proses pendataan komuniti pelarian Rohingya menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) kini berada pada fasa pertama yang membabitkan individu ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).
Katanya, pelaksanaan program itu dijangka memasuki fasa kedua dalam tempoh terdekat dengan memberi tumpuan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berada di luar depoh berkenaan.
“Pelaksanaan fasa kedua DPP ini akan memfokuskan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar DTI.
“Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi tujuan berkenaan.
“Libat urus diadakan bagi mendapatkan maklum balas serta merancang tindakan yang bersesuaian bagi menyelaras isu membabitkan golongan ini di negara ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi portal Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung status komuniti Rohingya di Malaysia, termasuk jumlah yang dikenal pasti, dokumentasi serta pendekatan strategik kerajaan dalam menangani isu berkenaan.








