theme-sticky-logo-alt
October 18, 2026
17 Views

143 Tahun Berdiri Megah, Dewan Bandar Raya Limoges Musnah Dijilat Api

Bangunan yang berdiri megah selama 143 tahun serta mempunyai struktur bersejarah yang dibina sejak abad ke-19 musnah dalam kebakaran besar. Warisan yang lahir daripada sumbangan seorang hartawan yang mahu meninggalkan sesuatu yang bermakna untuk masyarakat. Namun, siapa sangka bangunan yang dibina dengan penuh ketelitian itu akhirnya menjadi mangsa kekacauan yang melanda Perancis pada 17 Oktober... Read More

Bangunan yang berdiri megah selama 143 tahun serta mempunyai struktur bersejarah yang dibina sejak abad ke-19 musnah dalam kebakaran besar.

Warisan yang lahir daripada sumbangan seorang hartawan yang mahu meninggalkan sesuatu yang bermakna untuk masyarakat.

Namun, siapa sangka bangunan yang dibina dengan penuh ketelitian itu akhirnya menjadi mangsa kekacauan yang melanda Perancis pada 17 Oktober 2026.

Dikenali sebagai Hôtel de Ville de Limoges, sejarah dewan bandar raya ini bermula daripada hasrat seorang hartawan tempatan bernama Alfred Fournier yang meninggal dunia tanpa meninggalkan keturunan.

Sebelum kematiannya pada 1875, Fournier mewasiatkan kekayaannya kepada bandar Limoges. Sumbangan tersebut membuka jalan kepada pembinaan sebuah pusat pentadbiran baharu yang lebih besar dan moden.

Pada 1877, pihak berkuasa memilih tapak pembinaan selepas mendapatkan pandangan masyarakat. Sebuah pertandingan seni bina turut diadakan dengan menerima 27 cadangan sebelum reka bentuk arkitek Charles-Alfred Leclerc dipilih.

Pembinaan dimulakan pada 1879 dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Pada 14 Julai 1883, bangunan tersebut akhirnya dirasmikan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Perancis.

Reka bentuknya diinspirasikan daripada Hôtel de Ville di Paris, menggabungkan pengaruh seni bina Neo-Renaissance dan gaya zaman Louis XIII.

Menara jam setinggi kira-kira 43 meter dijadikan mercu tanda bandar Limoges.

Keindahannya turut terserlah melalui empat mozek yang menggambarkan tokoh bersejarah tempatan, termasuk Léonard Limosin, seorang seniman terkenal dalam penghasilan karya enamel.

Pada 1893, sebuah air pancut berhias porselin dibina di hadapannya. Keunikan tersebut mencerminkan identiti Limoges yang terkenal sebagai pusat penghasilan porselin berkualiti tinggi.

Nilai sejarah dan seni binanya mendapat pengiktirafan apabila bangunan serta air pancut berkenaan disenaraikan sebagai monumen bersejarah Perancis pada 15 Januari 1975.

Selepas lebih satu abad digunakan, usaha pemuliharaan terus dilaksanakan bagi memastikan warisan tersebut kekal terpelihara.

Pemeriksaan bangunan pada 2015 membawa kepada program pemulihan berperingkat, melibatkan kerja membaiki tingkap, membersihkan ukiran batu, memulihkan fasad serta menaik taraf struktur tertentu.

Air pancut di hadapannya turut dipulihkan pada 2018, manakala masyarakat setempat menyumbang dana melalui Fondation du Patrimoine untuk membantu usaha pemeliharaan.

Namun, segala usaha tersebut berdepan tragedi pada Sabtu, 17 Oktober 2026.

Demonstrasi membantah peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan perkhidmatan awam di Perancis bertukar menjadi kekacauan di beberapa bandar, termasuk Limoges.

Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), sekumpulan individu bertopeng memecahkan tingkap dewan bandar raya sebelum menceroboh masuk dan mencetuskan kebakaran.

Api merebak dengan pantas sehingga membakar bumbung dan bahagian atas bangunan.

Prefek Haute-Vienne, Maurice Barate, memaklumkan bumbung runtuh ke tingkat bawah kecuali di sayap barat, manakala kira-kira dua pertiga bahagian fasad dilaporkan musnah.

Menara jam ikonik turut runtuh, sementara ruang perkahwinan dan pendaftaran awam mengalami kemusnahan. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan individu yang berada di bangunan ketika kebakaran bermula.

Datuk Bandar Limoges, Guillaume Guérin, yang kelihatan sebak ketika sidang media, menyifatkan kerosakan itu sebagai amat serius ketika pasukan bomba masih berusaha mengawal api.

Tragedi tersebut memperlihatkan betapa rapuhnya sebuah warisan yang dibangunkan merentasi generasi.

Apa yang bermula daripada kemurahan hati Alfred Fournier pada abad ke-19 akhirnya menjadi sebahagian sejarah yang hampir lenyap dalam satu malam.

Bangunan mungkin boleh dibina semula, tetapi nilai sejarah, hasil seni dan kenangan yang pernah tersimpan di dalamnya belum tentu dapat dikembalikan.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1

Discover more from New Malaysian Post

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading