KUALA LUMPUR: Undang Yang Empat, termasuk Undang yang dipertikaikan, menarik balik permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa yang bertujuan memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan menandatangani proklamasi berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut Sinar Harian, Penarikan balik itu dibuat selepas permohonan tersebut dianggap bersifat akademik susulan pengakuan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan telah menandatangani proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu.
Perkara itu direkodkan mahkamah ketika pengurusan kes yang berlangsung secara dalam kamar di hadapan Hakim Norliza Othman.
Permohonan semakan kehakiman itu sebelum ini difailkan Datuk Mubarak Thahak, Datuk Maarof Mat Rashad, Datuk Muhammed Abdullah dan Datuk Abdul Rahim Yasin pada Julai lalu dengan menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan serta kerajaan negeri sebagai responden.
Menerusi permohonan tersebut, mereka antara lain memohon perintah mandamus bagi memaksa Menteri Besar menandatangani dokumen pemasyhuran yang menurut mereka berkaitan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Mereka turut memohon supaya satu lagi proklamasi yang menurut pihak berkenaan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 diberikan pengiktirafan.
Bagaimanapun, susulan dakwaan bahawa Menteri Besar telah menandatangani proklamasi berkenaan pada 3 Ogos, pihak pemohon berpandangan tuntutan mandamus itu tidak lagi perlu diteruskan kerana perkara yang dimohon telah dipenuhi.








