KUALA LUMPUR: Sebarang isu membabitkan keselamatan di sekolah perlu dilaporkan segera dan tidak boleh disembunyikan semata-mata untuk menjaga nama baik institusi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, hubungan erat antara pihak sekolah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan aspek keselamatan pelajar diberi perhatian sewajarnya.
Menurut UTUSAN, PDRM menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan pihak sekolah, termasuk melaksanakan lawatan secara berkala.
Beliau berkata, keselamatan sekolah merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara PDRM, Kementerian Pendidikan (KPM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Banyak perkara yang berlaku di luar dugaan memerlukan perhatian bukan sahaja daripada polis tetapi juga pihak sekolah dan ibu bapa melalui sinergi PDRM, KPM dan PIBG,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding PDRM di Bukit Aman, semalam.
Mengulas mengenai keperluan PDRM dan KPM meneliti semula langkah keselamatan tambahan, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), Mohd Khalid berkata perkara berkenaan sememangnya sering dibincangkan.
Katanya, PDRM menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) juga sentiasa mengarahkan pegawai menjalankan rondaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khalid berkata siasatan berhubung kematian seorang pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor masih dijalankan secara menyeluruh.
“Suspek berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi siasatan lanjut. Berdasarkan maklumat semasa, kami yakin kes ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.








