PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pemantauan.
Menurut Bernama Anaknya Mukhriz berkata, bapanya yang berusia 101 tahun dimasukkan ke IJN semalam.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Tun Dr Mahathir, Sufi Yusoff memaklumkan bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan baik dan sedang berehat di IJN.
Kemasukan Dr Mahathir ke hospital berlaku selepas isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meninggal dunia di IJN pada pagi Isnin pada usia 100 tahun.
Allahyarham diberikan Istiadat Pengebumian Negara sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.
Pemergian Siti Hasmah menerima penghormatan daripada pelbagai pihak yang mengenang keperibadian beliau serta sumbangannya kepada negara sepanjang hayat.
Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau tidak menjangkakan pemergian isterinya kerana Siti Hasmah dilihat berada dalam keadaan baik sehari sebelum meninggal dunia.
Bekas Perdana Menteri itu mempunyai sejarah masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1989 dan 2007.
Pada Januari lalu, Dr Mahathir mengalami keretakan pinggul selepas terjatuh di rumah.
Beliau kemudiannya menjalani rawatan fisioterapi dan tidak menjalani pembedahan mengambil kira faktor usia.








