SEREMBAN: Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan menggesa kemelut institusi dan pentadbiran negeri itu diselesaikan segera bagi mengelakkan rakyat terus menanggung kesan daripada ketidaktentuan yang berpanjangan.
Dalam kenyataan, KEADILAN Negeri Sembilan menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar yang didakwa tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut parti itu, keadaan semasa turut menimbulkan persepsi bahawa pentadbiran negeri tidak dapat berfungsi secara berkesan akibat pertikaian yang masih belum menemui penyelesaian.
KEADILAN Negeri Sembilan berkata, walaupun jentera perkhidmatan awam mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan urusan pentadbiran, ketidaktentuan pada peringkat kepimpinan dan proses membuat keputusan berpotensi menimbulkan kekeliruan kepada penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan serta rakyat.
Justeru, parti itu menegaskan kerajaan negeri perlu memastikan terdapat kejelasan berhubung kuasa membuat keputusan, bidang tanggungjawab setiap pihak serta kesinambungan pentadbiran.
Menurut kenyataan itu, kepentingan rakyat perlu diletakkan sebagai keutamaan dan tidak seharusnya terjejas akibat pertimbangan politik atau kepentingan peribadi.
KEADILAN Negeri Sembilan turut berpandangan kemelut yang berlarutan boleh memberi kesan terhadap keyakinan terhadap pentadbiran negeri sekiranya persoalan mengenai autoriti dan proses membuat keputusan tidak diselesaikan dengan jelas.
Gesaan itu hadir ketika Negeri Sembilan masih berdepan pertikaian berkaitan institusi, adat dan pentadbiran, dengan beberapa pihak sebelum ini turut menyeru supaya penyelesaian dicapai melalui saluran undang undang, adat serta proses yang sah.
Menurut KEADILAN Negeri Sembilan, penyelesaian segera penting bagi memastikan urusan kerajaan dapat diteruskan dengan teratur dan kepentingan rakyat tidak terus terkesan akibat ketidakpastian yang berlaku.








