KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak pernah memaksa mana mana parti politik untuk menjalin kerjasama dengannya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 16, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.
Menurut Malaysia Gazette, BN sebaliknya mengambil pendekatan terbuka dan bersedia berunding dengan mana mana pihak yang mahu berbincang mengenai kemungkinan kerjasama politik.
“Kena tanya dia (Khalid Samad). Kita tak pernah keluar apa apa kenyataan. Kalau dia tak nak kerjasama itu hak dia, itu parti dia bukan parti kita.
“Kita sentiasa terbuka,” katanya kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran MATEC 2026 di sini, hari ini.
Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abdul Samad yang menyatakan Pakatan Harapan tidak akan bekerjasama dengan BN dan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRN Melaka ke 16.
Pendekatan terbuka BN itu selari dengan pendirian pimpinan gabungan berkenaan sebelum ini bahawa rundingan dengan parti lain masih boleh diadakan sebelum bentuk kerjasama bagi PRN Melaka dimuktamadkan. Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata BN terbuka untuk berunding dengan mana mana pihak, manakala Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bentuk kerjasama politik akan ditentukan selepas perbincangan dengan parti berkaitan diselesaikan.
Setakat ini, BN belum mengumumkan secara rasmi bentuk kerjasama atau susunan kerusi yang akan digunakan bagi menghadapi PRN Melaka.








