MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menurut Malaysia Gazette, Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, gabungan itu berhasrat bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kerjasama dengan parti di luar PH.
“Tiada kerjasama dengan Bersatu. Tidak ada. PH akan bertanding tanpa bekerjasama dengan mana mana pihak di luar PH,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Jejantas Tun Teja, Peringgit, hari ini.
Khoo yang juga Pengerusi DAP Melaka berkata, pendirian parti di peringkat negeri akan dikemukakan kepada Majlis Presiden PH dalam masa terdekat untuk pertimbangan selanjutnya.
“Kita akan maklumkan pendirian DAP dan PH Melaka kepada Majlis Presiden PH,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan PH Melaka masih terbuka untuk mendengar pandangan mana mana pihak yang mahu mengadakan rundingan politik, namun perkara itu tidak bermaksud kerjasama akan dimeterai.
“Kita sedia berunding dengan mana mana parti tetapi setiap rundingan itu ada garisan merahnya. Kita terbuka untuk mendengar tetapi itu tidak bererti kita akan bekerjasama,” tegasnya.
Mengulas ketidakhadirannya dalam majlis makan malam membabitkan beberapa pemimpin PH dan Bersatu di sebuah hotel di Melaka malam kelmarin, Khoo meminta supaya pertemuan itu tidak ditafsir sebagai tanda bahawa kedua dua pihak telah mencapai persetujuan politik.
“Itu sekadar makan makan dan jangan buat persepsi bahawa kita sudah bekerjasama dengan mereka,” katanya.








