KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya lima isu awal diselesaikan terlebih dahulu sebelum perbicaraan penuh saman sivil yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.
Menurut Berita Harian, kes berkenaan berkaitan dakwaan insiden yang dikatakan berlaku pada 2 Oktober 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri. Anwar sebelum ini memohon supaya beberapa persoalan mengenai pergerakan dan kehadiran Yusoff di kediamannya di Segambut diputuskan terlebih dahulu kerana isu tersebut boleh memberi kesan langsung terhadap kelangsungan saman berkenaan.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan lima isu itu ditentukan melalui perbicaraan berdasarkan keterangan secara lisan atau viva voce, dengan kedua dua pihak dibenarkan memanggil saksi yang dianggap perlu.
Ketika membacakan alasan penghakiman, beliau berkata persoalan yang dibangkitkan sesuai diputuskan sebagai isu awal di bawah Aturan 33 Kaedah 2 Kaedah Kaedah Mahkamah.
Lima isu berkenaan tertumpu kepada kronologi kejadian pada 2 Oktober 2018.
Antaranya ialah sama ada Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad mengarahkan Yusoff menyerahkan sendiri teks ucapan ke kediaman Anwar di Segambut.
Mahkamah juga akan menentukan sama ada Yusoff menaiki kenderaan bersama pengawal keselamatan Anwar, Norafee Ahmad, dari pejabat Anwar kira kira jam 2.15 petang sebelum tiba di kediaman tersebut sekitar jam 3 petang pada hari sama.
Satu lagi persoalan utama ialah sama ada Yusoff benar benar bertemu Anwar di kediaman berkenaan pada tarikh tersebut.
Menurut Raja Ahmad Mohzanuddin, sekiranya mahkamah mendapati pertemuan itu tidak berlaku, persoalan seterusnya ialah sama ada insiden yang didakwa, termasuk serangan seksual dan atau pencerobohan terhadap diri, boleh berlaku seperti yang dinyatakan dalam tuntutan.
Mahkamah turut akan menentukan sama ada writ serta pernyataan tuntutan Yusoff masih boleh dipertahankan dari sudut undang undang dan fakta sekiranya didapati beliau tidak bertemu Anwar pada hari berkenaan.
Hakim berkata, kehadiran Yusoff di kediaman Anwar pada tarikh berkenaan merupakan isu asas yang perlu ditentukan sebelum dakwaan mengenai apa yang didakwa berlaku di dalam kediaman itu boleh dipertimbangkan.
“Sekiranya isu isu awal dijawab memihak kepada defendan, tuntutan plaintif akan berakhir.
“Sebaliknya, jika ia dijawab memihak kepada plaintif, dapatan tersebut akan menjadi dapatan muktamad dan perbicaraan seterusnya akan dihadkan kepada dakwaan serangan seksual dan atau pencerobohan terhadap plaintif,” katanya.
Yusoff memfailkan saman sivil itu pada 2021, manakala Anwar menafikan dakwaan berkenaan. Perbicaraan penuh saman tersebut masih belum bermula.








