PUTRAJAYA: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau setakat ini belum menerima sebarang maklumat mengenai perbincangan rasmi antara gabungan itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan pertemuan yang berlangsung di Melaka malam tadi.
Menurut Fahmi, berdasarkan laporan yang diterimanya, pertemuan berkenaan hanya melibatkan sesi makan malam dan beliau sendiri tidak hadir.
“Berdasarkan laporan media, ia hanya sesi makan malam.
“Tak dibincangkan dengan saya. Saya tak hadir, saya tak ada maklumat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pembiayaan Inisiatif Ubat Melalui Pos di sini, hari ini.
Pertemuan di Melaka malam tadi sebelum ini dilaporkan membabitkan pimpinan PH negeri dan Bersatu, dengan spekulasi bahawa ia mungkin menyentuh kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata rundingan bagi membentuk kerjasama PH Plus turut melibatkan Bersatu, namun bentuk kerjasama berkenaan hanya akan diumumkan selepas proses perbincangan selesai.- Harian Metro








