KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sembilan perlu terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan kesejahteraan serta kepentingan rakyat tidak terjejas meskipun pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) telah dibatalkan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu menjadi antara intipati utama perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan di Ibu Pejabat UMNO, malam tadi.
Menurut Buletin TV3, tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada usaha memastikan pentadbiran negeri terus berjalan tanpa menjejaskan urusan rakyat.
“Intipati kepada perbincangan ialah kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.
“Itu yang mesti diberi penumpuan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar. Insya-Allah, daripada perbincangan yang panjang lebar ini akan ada satu pendekatan untuk pihak kerajaan berjalan seperti biasa untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Jalaluddin berkata, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan pentadbiran negeri terus berfungsi susulan ketiadaan barisan Exco ketika ini.
Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim juga mempunyai ruang untuk menggunakan formula yang sesuai bagi memastikan jentera kerajaan serta program berkaitan kepentingan rakyat dapat diteruskan.
“Tentunya Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya agenda bagi meneruskan program-program yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dapat kita teruskan,” katanya.
Pertemuan berkenaan diadakan susulan kemelut pentadbiran Negeri Sembilan yang kini turut melibatkan pembatalan pelantikan 10 Exco negeri.
Jalaluddin menegaskan bahawa apa juga pendekatan yang bakal diambil, keutamaan perlu diberikan kepada kesinambungan pentadbiran serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan.








