KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Peguam Negara meneliti semula keputusan berhubung 47 pertuduhan yang pernah dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Menerusi hantaran di Facebook, Rayer berkata beliau menyambut baik tindakan kerajaan yang dilihat semakin tegas dalam usaha membanteras rasuah, termasuk pendakwaan terhadap beberapa bekas pemimpin kanan politik.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada pendekatan yang sama turut digunakan dalam kes membabitkan Ahmad Zahid yang sebelum ini berdepan 47 pertuduhan berkaitan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.
“Pertuduhan berkenaan bukan perkara kecil memandangkan kes tersebut telah melalui perbicaraan yang panjang sehingga mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri, sebelum pihak pendakwaan menghentikan prosiding berkenaan,”
“Merujuk pengumuman Jabatan Peguam Negara pada Januari 2026 bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil dan perkara itu dianggap telah selesai,” katanya.
Beliau menegaskan persoalan itu bukan bertujuan untuk mengisytiharkan mana-mana individu bersalah, sebaliknya menyentuh soal kesamarataan di sisi undang-undang, konsistensi dalam pendakwaan serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.
“Usaha memerangi rasuah tidak boleh dilaksanakan secara terpilih atau berdasarkan kedudukan politik seseorang,”
“Tiada layanan dua darjat. Tiada pendakwaan terpilih,” katanya.








