PETALING JAYA: Isu agihan peruntukan kepada wakil rakyat akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Isnin ini, sebelum dibawa ke mesyuarat Pakatan Harapan (PH) akan datang.
Menurut Berita Harian,Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berharap pelaksanaan agihan peruntukan secara saksama kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang, dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Gobind juga berkata, perkara itu selari dengan pendirian DAP dan PH yang mahu peruntukan diagihkan tanpa diskriminasi berdasarkan kecenderungan politik.
“Saya secara konsisten menyatakan pendirian DAP dan PH untuk memberi peruntukan sama rata kepada semua, bukan sahaja Ahli Parlimen tetapi termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kita memperjuangkannya sejak awal kerana apabila seseorang diberikan amanah menjadi wakil rakyat, mereka pastinya memerlukan bantuan, terutama dana.
“Kita kena hormat keputusan pengundi yang memilih wakil rakyat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau tapak naik taraf Padang SS 2/45 di sini, hari ini.







