PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Persekutuan digesa menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian, termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu bagi membendung kesan sosial dan moral akibat aktiviti berkenaan.
Menurut Malaysia Gazette, itu terkandung dalam usul tanpa bahas berkaitan isu perjudian yang dibentangkan Ketua Penerangan merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di PUTIK, di sini, hari ini.
Menurut usul berkenaan, pendekatan Kerajaan Negeri Kedah yang tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian sebagai sebahagian usaha melaksanakan tuntutan Islam serta membendung kesan sosial dan moral akibat perjudian telah dicabar melalui proses kehakiman.
Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun 2024 membenarkan semakan kehakiman sebelum Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2025, menerusi keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah.
Pada 12 Ogos 2026, Mahkamah Persekutuan pula menolak permohonan kebenaran Kerajaan Negeri Kedah untuk merayu, sekali gus menyebabkan keputusan Mahkamah Rayuan kekal.
PAS berpandangan perkembangan itu menunjukkan keterbatasan ruang kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap premis perjudian apabila perkara berkaitan perjudian dan pelesenannya tertakluk kepada pembahagian kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, muktamar menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian, termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu.








