KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menegaskan beliau hadir selepas menerima sepina untuk memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), namun diminta pulang tanpa dipanggil memberi keterangan pada tarikh yang ditetapkan.
Menurut Berita Harian,beliau menyifatkan kenyataan Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin yang juga Ahli RCI berhubung isu kehadirannya dalam prosiding berkenaan sebagai tidak tepat.
Madinah turut menafikan bahawa beliau pernah meminta untuk memasuki bilik prosiding RCI bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan Jabatan Audit Negara ketika itu, Dr Mona Othman.
Menurutnya, Mona hanya berada bersamanya di luar bilik prosiding sebagai persediaan sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan maklumat teknikal tambahan berkaitan isu TH.
“Tidak pernah saya minta untuk masuk ke dalam bilik prosiding bersama Dr Mona. Ketika itu (petugas) sekretariat keluar daripada bilik prosiding dan memaklumkan saya tidak perlu masuk dan meminta saya balik.
“Sekiranya benar tak boleh bawa Dr Mona masuk, mengapa tak dimaklumkan kepada saya dan hanya saya disuruh pulang. Apabila saya tanya mengapa? Beliau menyatakan tidak pasti,” katanya kepada BH.








