SHAH ALAM:Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan sempena sambutan kemerdekaan, sebaliknya merupakan lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.
Baginda bertitah, walaupun rakyat berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang mengingatkan bahawa semua tetap merupakan rakyat sebuah negara yang sama.
“Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional,” titah baginda menerusi kenyataan media bertarikh 26 Ogos 2026.
Baginda turut berkenan supaya Jalur Gemilang dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor bermula 26 Ogos hingga 17 September 2026 sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-69. Sehubungan itu, satu upacara menaikkan Jalur Gemilang berlangsung di Dataran Selangor sebagai simbol kecintaan kepada tanah air serta usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan bahawa semangat Hari Kemerdekaan perlu diterjemahkan dengan mengenang dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka berusaha menyatukan masyarakat dan merapatkan jurang perbezaan.
Baginda turut mahu generasi muda dididik supaya menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya yang berbeza, manakala pemimpin serta ahli politik perlu menunjukkan teladan melalui sikap kesederhanaan, toleransi dan belas ihsan.
“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.
Menurut baginda, mengibarkan ribuan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah, namun tugas lebih besar adalah membina sebuah Malaysia yang membolehkan setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang berasa dihormati, diterima serta bangga menjadi rakyat Malaysia.
Baginda turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang tidak pernah membezakan Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban atau mana-mana kaum, selain tidak membezakan Muslim, Buddha, Kristian, Hindu atau apa jua kepercayaan.
“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” titah baginda.








