KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menyiasat isu Lembaga Tabung Haji (TH) tidak diperlukan ketika siasatan oleh pihak berkuasa sudah bermula.
Menerusi hantaran di Facebook, Puad merujuk cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PAC menubuhkan badan khas untuk menyiasat pengurusan TH, manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula mahu RCI 2.0 diwujudkan.
Beliau turut berkata laporan RCI TH telah membuktikan wujud salah tadbir urus dan beliau berpandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meneruskan siasatan.
“Laporan RCI TH itu membuktikan wujud salah tadbir urus. Maka biarlah SPRM dan PDRM teruskan siasatan. Oleh itu perlukah PAC? Apakah PAC ada bidang kuasa macam SPRM dan PDRM?” katanya.
Beliau turut menyifatkan RCI 2.0 sebagai tidak perlu kerana siasatan sudah bermula dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) juga telah direman.
“RCI 2.0 juga tidak perlu. Siasatan sudah bermula. CEO sudah direman. Maka kita tunggu kalau ada sakau,” katanya.
Puad turut menyentuh kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang menurutnya mendakwa forum berkaitan RCI TH sebagai “mengadu domba”, sambil mempersoalkan sama ada laporan RCI akan berbeza jika keterangannya diambil.
Beliau mendakwa cadangan mewujudkan RCI 2.0 dan PAC hanya akan melengahkan tindakan undang-undang, selain menyifatkan forum yang diadakan sebagai usaha mempolitikkan isu RCI TH.








