KUALA LUMPUR: Keikhlasan dan kesetiaan Barisan Nasional (BN) dalam menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga tamat penggal Parlimen dipersoalkan.
Menurut Suara Keadilan, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Kamil Munim berkata, sikap yang ditunjukkan BN kebelakangan ini dilihat tidak selari dengan persetujuan untuk bekerjasama sehingga tamat penggal.
“Saya merujuk kepada pihak dalam Kerajaan Perpaduan yang meletakkan kepentingan politik sempit mengatasi kepentingan negara dan cuba menggugat kestabilan kerajaan.
“Kalau kita bersetuju bekerjasama sehingga tamat penggal, maka komitmen itu perlu ditunjukkan. Mandat rakyat perlu dihormati,” katanya seperti dipetik laporan media.
Kamil memberi contoh tindakan BN yang didakwa menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini.
“Mandat Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023 diberikan kepada kerajaan PH-BN, mengapa tidak dihormati sehingga tamat penggal?” soalnya.








