MELAKA: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 individu yang menerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Menurut UTUSAN, Fadhlina mengetuai senarai 10 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat yang berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh berkata, antara penerima DGSM ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail.
Turut menerima darjah berkenaan ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas, Datuk Seri Sazali Hamzah dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin. Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini.








