KUALA LUMPUR: Pendakwah Firdaus Wong menyatakan persetujuan dengan kenyataan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman bahawa perbuatan merosakkan berhala atau tempat sembahan agama lain tidak dibenarkan dan pihak yang terlibat perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Menurutnya, pendirian itu jelas selari dengan ajaran Islam dan tindakan pihak berkuasa memburu individu yang terbabit dalam merosakkan berhala di sebuah kuil yang didakwanya dibina tanpa kebenaran adalah wajar.
“Pemecah berhala, tak pasti siapa yang melakukannya. Pelaku mesti dikenakan tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Firdaus turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwanya terlibat dalam pencerobohan tanah serta pembinaan kuil tanpa kebenaran, dengan mendakwa identiti mereka diketahui kerana laporan polis telah dibuat.
Katanya, sekiranya pihak yang merosakkan berhala diburu dan dikenakan tindakan, maka dakwaan berkaitan pencerobohan tanah serta pembinaan struktur tanpa kebenaran juga wajar disiasat dan ditangani mengikut lunas undang-undang.
“Takkan pemecah berhala perlu diburu dan dikenakan tindakan tetapi penceroboh tanah dan pembina kuil haram tersebut tak dikenakan sebarang tindakan?
“Bukankah dua-dua pemecah berhala dan penceroboh tanah serta pembina kuil haram melanggar undang-undang?” katanya.
Firdaus turut menggunakan perumpamaan bagi menjelaskan pendiriannya bahawa penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara konsisten terhadap semua pihak yang didakwa melakukan kesalahan, tanpa mengira bentuk pelanggaran yang berlaku.








