KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, perlu disalurkan secara adil menerusi satu mekanisme yang diinstitusikan melalui undang-undang.
Beliau berkata, tuntutan itu bukan perkara baharu kerana Ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) telah membangkitkannya sejak empat tahun lalu, selain mendesak supaya penyaluran peruntukan dibuat melalui mekanisme yang jelas, telus dan tidak bergantung kepada budi bicara kerajaan atau kepentingan politik.
Ronald turut mengalu-alukan pendirian Ahli Parlimen DAP dari dalam kerajaan, termasuk Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang turut menyuarakan pandangan berhubung isu peruntukan Ahli Parlimen.
Menurut beliau, peruntukan kepada kawasan Parlimen bukan milik peribadi seseorang wakil rakyat, sebaliknya merupakan wang rakyat yang perlu digunakan untuk kepentingan rakyat tanpa mengira parti atau kedudukan politik Ahli Parlimen.
“Peruntukan Ahli Parlimen tidak seharusnya menjadi instrumen politik kerajaan yang boleh diberi atau dinafikan berdasarkan siapa yang memerintah dan siapa yang menjadi pembangkang. Ia perlu menjadi satu hak yang tertakluk kepada peraturan yang jelas, telus dan terpakai secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, apabila tuntutan sama kini turut datang daripada Ahli Parlimen kerajaan, termasuk anggota Jemaah Menteri, kerajaan tidak lagi boleh melihat isu berkenaan sebagai tuntutan pembangkang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada keputusan serta tindakan yang nyata.
Dalam pada itu, Ronald menyeru Ahli Parlimen kerajaan daripada PKR dan PAN turut menyatakan pendirian secara terbuka, sambil menegaskan bahawa sekiranya agenda reformasi benar-benar berasaskan prinsip, kerajaan perlu mengambil langkah tuntas bagi memastikan peruntukan disalurkan secara adil, telus dan berasaskan undang-undang.
“Jangan jadikan peruntukan rakyat sebagai alat politik. Institusikan mekanismenya melalui undang-undang supaya keadilan tidak bergantung kepada siapa yang menjadi kerajaan dan siapa yang menjadi pembangkang,” katanya.








