KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan Oktober ini dijangka menjadi antara ruang utama kerajaan menangani tekanan kos sara hidup yang dihadapi golongan M40, khususnya mereka yang menetap di kawasan bandar dan menanggung komitmen kewangan tinggi.
Menurut AWANI,Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Salwani Arbak berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memahami tekanan yang dihadapi kelompok berkenaan kerana kelayakan mereka menerima bantuan kerajaan lebih terhad berbanding golongan B40, sedangkan kos kehidupan di bandar semakin meningkat.
Menurutnya, golongan M40 di kawasan bandar sering dianggap sebagai “kelas sandwich” kerana berdepan tekanan kewangan tinggi tetapi pada masa sama kerap tidak termasuk dalam bantuan bersasar yang dikhususkan kepada B40.
“Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, pendapatan isi rumah M40 dalam lingkungan RM7,000 sehingga RM10,000 tidak lagi sepadan dengan kos perumahan, pengangkutan, dan penjagaan anak yang semakin membebankan.
“Pendapatan isi rumah sehingga RM13,000 di bandar besar kini boleh dikategorikan sebagai M40 atau mengalami tekanan kewangan yang serius akibat kos hidup yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salwani juga berkata, kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memberikan perhatian khusus kepada golongan M40 dalam Belanjawan 2027, namun pendekatan itu perlu disertai langkah dasar yang lebih strategik dan berasaskan bukti.
“Kerajaan telah menyatakan niat untuk memberi tumpuan khusus kepada golongan M40 dalam Belanjawan 2027. Namun, niat sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan intervensi dasar yang strategik, berani, dan berpandukan bukti yakni termasuk mengadaptasi model yang telah terbukti berjaya di negara lain,” katanya.








