KUALA LUMPUR: DAPSY Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan supaya kerajaan Persekutuan segera menggubal undang-undang berkaitan Peruntukan Pembangunan Kawasan atau Constituency Development Fund (CDF) bagi memastikan semua Ahli Parlimen menerima layanan secara saksama.
Ketua DAPSY,Woo Kah Leong berkata peruntukan kawasan tidak seharusnya terus bergantung kepada budi bicara politik atau pendekatan sementara, sebaliknya perlu dijadikan satu sistem yang jelas, adil dan berasaskan undang-undang.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang menerima peruntukan secara sama rata untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.
Woo berkata, reformasi juga tidak seharusnya terhenti selepas pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), sebaliknya perlu diteruskan dalam bentuk perubahan sistem yang lebih menyeluruh.
“Sekiranya AUKU yang menzalimi mahasiswa akan dimansuhkan, maka tindakan yang menjadikan peruntukan kawasan sebagai senjata politik pun harus dihentikan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan kawasan bukan hadiah politik daripada kerajaan, sebaliknya merupakan wang rakyat dan hasil cukai yang sepatutnya digunakan untuk membantu penduduk di setiap kawasan Parlimen tanpa mengira kedudukan politik wakil rakyat.
Katanya, penggubalan undang-undang CDF juga selaras dengan semangat manifesto Pakatan Harapan serta mampu membina budaya politik yang lebih matang, telus dan adil, selain memastikan setiap Ahli Parlimen dapat menjalankan tugas membangunkan kawasan dan menyelesaikan masalah setempat tanpa halangan politik.
Sehubungan itu, DAPSY menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa Rang Undang-Undang Peruntukan Pembangunan Kawasan ke Parlimen dengan kadar segera bagi memperkukuh demokrasi negara supaya lebih adil dan matang.








