SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menggesa semua wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya melaksanakan amanah dengan adil serta mengutamakan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan kecenderungan politik.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, beliau berkata, sebaik sahaja keputusan pilihan raya dimuktamadkan, fokus perlu beralih daripada persaingan politik kepada tanggungjawab berkhidmat demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, politik mempunyai ruang dan waktunya, termasuk ketika tempoh berkempen yang menyaksikan persaingan sengit.
“Politik mempunyai ruang dan waktunya. Sewaktu berkempen, persaingan mungkin sengit, hati tentunya terguris.
“Namun setelah keputusan dimuktamadkan, yang dituntut bukan lagi persaingan, tetapi amanah,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati keputusan pilihan raya serta menerima mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
Beliau menegaskan, setiap wakil rakyat kini memikul tanggungjawab untuk mewakili seluruh penduduk di kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik.
“Amanah yang dipikul ialah untuk berlaku adil, mendengar suara rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua.
“Keperluan rakyat tidak mengenal warna parti. Semoga ALLAH SWT memimpin setiap langkah kita dalam memikul amanah ini,” ujarnya.








