SHAH ALAM: Ahli perniagaan Nicky Liow telah dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta selepas pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan tiga tahun lalu.
Menurut Sinar Harian,Peguamnya, Datuk Rajpal Singh berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas menerima representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Beliau berkata Nicky, atau nama sebenarnya Liow Soon Hee, turut melunaskan tunggakan cukai berjumlah RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkaitan Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan.
“AGC telah menerima representasi yang kami kemukakan sebelum ini dan Nicky dibebaskan pada 15 Jun 2023,” katanya ketika dihubungi media.
Pada 12 April 2022, Nicky, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap kesemua 26 pertuduhan berkenaan.
Mengikut keseluruhan pertuduhan, Nicky Liow bersama tiga syarikat berkenaan didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram, selain menghadapi dua pertuduhan memiliki wang daripada hasil sama yang keseluruhannya berjumlah lebih RM36 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara 2016 hingga 2021.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] atau AMLATFPUAA, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan ketika kesalahan itu dilakukan, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.








