MELAKA: Ruang rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan DAP berhubung keputusan parti itu menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri kini tertutup selepas semua surat peletakan jawatan diserahkan secara rasmi semalam.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menerima surat peletakan jawatan daripada wakil DAP sejurus selesai sidang media tergempar parti berkenaan.
Menurutnya, pengunduran DAP daripada kerajaan negeri diterima serta-merta, sekali gus menyebabkan kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berubah hari ini.
“Kita terima semalam selepas habis sidang media. Mereka (DAP) terus hantar surat dan pengunduran DAP dalam kerajaan diterima pada kadar segera.
“Itu sebab Perdana Menteri minta berunding. Saya kata dah tak boleh berunding sebab mereka dah serah semua surat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.








