theme-sticky-logo-alt
July 10, 2026
105 Views

“BN Berpotensi Lepasi Majoriti Dua Pertiga,”- ILHAM Centre

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berada pada landasan kukuh untuk melepasi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, menurut dapatan kajian ILHAM Centre. Laporan itu mengunjurkan BN mendahului di 39 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) dijangka memenangi sembilan kerusi dan baki lapan kerusi masih dikategorikan... Read More

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berada pada landasan kukuh untuk melepasi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, menurut dapatan kajian ILHAM Centre.

Laporan itu mengunjurkan BN mendahului di 39 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) dijangka memenangi sembilan kerusi dan baki lapan kerusi masih dikategorikan sebagai sengit.

Menurut ILHAM Centre, faktor utama yang memihak kepada BN ialah suasana PRN yang berlangsung secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU), sekali gus menyebabkan pengundi lebih menilai prestasi kerajaan negeri, rekod pentadbiran, kepimpinan Menteri Besar serta pembangunan di Johor berbanding isu nasional.

Kajian itu turut mendapati Perikatan Nasional (PN) bukan lagi pencabar utama kepada BN susulan hubungan PAS dan Bersatu yang dilihat semakin bercelaru, sekali gus menjejaskan keyakinan penyokong terhadap gabungan tersebut. Di beberapa kawasan majoriti Melayu, sebahagian penyokong PAS dilaporkan cenderung memberi sokongan taktikal kepada BN.

BN juga dilihat mendapat kelebihan menerusi calon yang lebih dikenali, kekuatan jentera, fokus kepada isu tempatan serta naratif kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negeri.

Bagi PH pula, cabaran utama dikenal pasti ialah kadar keluar mengundi pengundi Cina. ILHAM Centre menyatakan PH memerlukan sekurang-kurangnya 65 peratus kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina bagi mengekalkan kelebihan di kawasan bandar dan separa bandar. Bagaimanapun, kajian mendapati ramai pengundi Cina masih menyokong PH tetapi kurang teruja untuk keluar mengundi berbanding PRU-15.

Dalam kalangan pengundi muda yang merangkumi 48 peratus daripada keseluruhan pengundi, kajian menunjukkan mereka lebih bersifat candidate centric dan late decider, dengan keputusan banyak dipengaruhi rekod prestasi serta personaliti calon berbanding jenama parti.

Laporan itu turut merekodkan tahap populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebanyak 79 peratus, jauh mengatasi populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mencatatkan 40 peratus dalam kalangan responden. BN dilihat berjaya menjadikan prestasi kerajaan negeri dan pembangunan seperti RTS, Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), pusat data serta pelbagai bantuan negeri sebagai kekuatan utama kempen.

Sebaliknya, PH dikatakan terlalu bergantung kepada pengaruh Perdana Menteri dan pencapaian kerajaan Persekutuan, sedangkan pengundi lebih memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, mobiliti ke Singapura dan kesesakan lalu lintas.

ILHAM Centre turut berpandangan bahawa BN lebih berjaya menyesuaikan strategi dengan karakter PRN, manakala PH masih menggunakan pendekatan yang dipengaruhi momentum PRU-15.

Dalam masa sama, parti kecil seperti MUDA dan Bersama dilihat gagal membentuk gelombang baharu, malah kehadiran mereka lebih banyak memecahkan undi pembangkang berbanding menjadi alternatif yang berdaya saing.

Menurut unjuran ILHAM Centre, lapan kerusi masih dianggap sengit iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu.

Keputusan di kerusi berkenaan dijangka bergantung kepada tiga faktor utama iaitu kadar keluar mengundi, khususnya pengundi Cina, hala tuju sokongan penyokong PN susulan perpecahan PAS dan Bersatu, serta sekitar 17 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan, kebanyakannya terdiri daripada pengundi muda.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1

Discover more from New Malaysian Post

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading