theme-sticky-logo-alt
July 7, 2026
57 Views

Metlife Saksi Tarian Terakhir Neymar Bersama Brazil

Tangisan di Stadium MetLife, New Jersey menjadi penutup kepada sebuah perjalanan yang penuh warna. Selepas Brazil dikejutkan Norway 2-1 pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, Neymar mengumumkan bahawa beliau tidak lagi akan menyarung jersi Selecao, sekali gus menamatkan karier antarabangsanya yang menjangkau 16 tahun. Perjalanan itu bermula pada 10 Ogos 2010 apabila seorang pemain... Read More

Tangisan di Stadium MetLife, New Jersey menjadi penutup kepada sebuah perjalanan yang penuh warna. Selepas Brazil dikejutkan Norway 2-1 pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, Neymar mengumumkan bahawa beliau tidak lagi akan menyarung jersi Selecao, sekali gus menamatkan karier antarabangsanya yang menjangkau 16 tahun.

Perjalanan itu bermula pada 10 Ogos 2010 apabila seorang pemain muda berusia 18 tahun membuat penampilan sulung bersama Brazil dan terus meledak gol ketika menentang Amerika Syarikat. Sejak detik itu, Neymar dilihat sebagai pewaris kepada legasi pemain-pemain hebat seperti Pelé, Ronaldo dan Ronaldinho.

Sepanjang kariernya bersama Brazil, Neymar bukan sekadar menjadi tonggak utama pasukan, malah muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 80 gol dalam 130 penampilan, selain mencipta 58 bantuan jaringan. Rekod itu mengatasi pencapaian legenda Pelé dan meletakkannya sebagai antara pemain terhebat pernah menyarung jersi kuning Brazil.

Kemuncak awal kariernya hadir pada Piala Konfederasi FIFA 2013 apabila beliau memimpin Brazil muncul juara selepas menewaskan Sepanyol 3-0 di final. Neymar dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai bintang baharu bola sepak dunia.

Namun, pentas Piala Dunia sentiasa menghadirkan kisah yang berbeza buat Neymar. Pada edisi 2014 di bumi sendiri, beliau mempamerkan aksi cemerlang sebelum impiannya musnah akibat kecederaan belakang pada suku akhir. Tanpa kelibatnya, Brazil mengalami episod hitam apabila dibelasah Jerman 7-1 di separuh akhir.

Dua tahun kemudian, Neymar menghadiahkan detik paling bermakna apabila mengetuai Brazil meraih pingat emas pertama bola sepak lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016. Beliau menjaringkan sepakan penalti penentuan ketika menewaskan Jerman dalam penentuan penalti, sekali gus menebus kekecewaan Piala Dunia di laman sendiri.

Dalam misi memburu Piala Dunia Brazil terus bernasib malang apabila tersingkir di suku akhir Piala Dunia 2018, tewas kepada Belgium, sebelum sekali lagi dikecewakan oleh Croatia pada Piala Dunia 2022 menerusi penentuan penalti.

Pada 2023, Neymar akhirnya mengukir sejarah apabila memintas rekod Pelé sebagai penjaring terbanyak Brazil selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Bolivia dalam aksi kelayakan Piala Dunia. Rekod itu menjadi bukti konsistensi luar biasanya sepanjang lebih sedekad bersama skuad kebangsaan.

Piala Dunia 2026 menjadi penampilan terakhirnya. Neymar kembali memperkuatkan Brazil dengan harapan menamatkan kemarau kejuaraan dunia sejak 2002. Namun impian itu berkecai apabila Norway mengejutkan gergasi Amerika Selatan itu 2-1 dalam pusingan 16 terbaik. Neymar sempat menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan, tetapi ia gagal mengubah keputusan perlawanan.

Sejurus tamat perlawanan, Neymar yang menitiskan air mata mengumumkan pengunduran daripada arena antarabangsa.

“Saya sudah mencuba. Saya sudah mencuba. Ia bermula di stadium ini dan berakhir di stadium ini. Kini semuanya sudah berakhir,” katanya.

Walaupun impian menjulang Piala Dunia tidak pernah menjadi kenyataan, Neymar meninggalkan warisan yang sukar ditandingi. Beliau mengakhiri karier sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil, pemimpin generasi baharu Selecao dan ikon bola sepak yang menghiburkan jutaan peminat dengan skil, kreativiti serta keberaniannya di atas padang.

Trofi Piala Dunia mungkin tidak pernah singgah dalam genggamannya, namun nama Neymar akan terus terpahat sebagai antara legenda teragung yang pernah dilahirkan Brazil.

Pada pandangan penulis, persembahan Neymar yang paling sukar dilupakan bersama Selecao sudah pasti ketika Brazil menewaskan Sepanyol 3-0 dalam aksi final Piala Konfederasi FIFA 2013. Ketika itu beliau baru berusia 21 tahun, namun beraksi tanpa sedikit pun rasa gentar menentang barisan pemain terbaik dunia seperti Xavi, Andrés Iniesta, Gerard Piqué, Sergio Ramos dan Iker Casillas. Malam itu menjadi pentas Neymar memperkenalkan dirinya sebagai pewaris baharu bola sepak Brazil.

Terima kasih kerana menghadiahkan dunia dengan momen-momen magis yang akan terus terpahat dalam sejarah bola sepak  Setiap gelecekkan yang memukau, setiap jaringan yang menggegarkan stadium dan setiap senyuman yang terukir di wajah anda ketika meraikan kemenangan menjadi sebahagian daripada kenangan paling indah yang akan disimpan sampai bila-bila.

Anda mengajar bahawa bola sepak bukan sekadar soal kemenangan atau kekalahan. Bola sepak ialah tentang keberanian untuk bermimpi, keyakinan untuk mencuba sesuatu yang luar jangkaan, dan kebebasan untuk mengekspresikan diri tanpa rasa takut. Anda bermain bukan hanya untuk memenangi perlawanan, tetapi untuk menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia.

Obrigado, Neymar. Terima kasih sekali lagi kerana menjadi sebahagian daripada zaman remaja penulis. Selamat bersara daripada pentas antarabangsa. Magis anda bersama Brazil tidak akan pernah dilupakan. 🇧🇷💛

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1

Discover more from New Malaysian Post

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading