MUAR: Pakatan Harapan (PH) menggesa pengundi yang berada di luar Johor, termasuk di Singapura, supaya pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, turut menyeru ahli keluarga yang berada di Johor agar menggalakkan anggota keluarga masing-masing pulang mengundi bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
“Pilihan raya ini sangat penting kerana kita mahu kerajaan negeri yang baik dan boleh bekerjasama dengan perdana menteri,” katanya ketika berucap pada ceramah PH sempena kempen PRN Johor di Bakri.
Dalam sidang media selepas program itu, Fahmi berkata beliau mengambil maklum pelbagai komen di media sosial yang mendakwa tarikh pengundian pada 11 Julai, yang jatuh pada pertengahan bulan, menyukarkan khususnya golongan muda untuk pulang mengundi.
“Saya telah membaca komen-komen yang mengatakan seolah-olah sengaja dipilih tarikh 11 Julai seolah-olah ia tengah bulan (menyebabkan) anak muda sukar balik,” katanya.
Susulan itu, Fahmi menggesa pengundi supaya tidak menjadikan perkara berkenaan sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab mereka memilih kerajaan negeri.








