JOHOR BAHRU – Dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dibebaskan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak berasaskan bidang kuasa undang-undang.
Pempengaruh politik, Eric See-To atau lebih dikenali sebagai Lim Sian See berkata, urusan berkaitan penjara, parole, remisi serta pelaksanaan hukuman adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukannya kerajaan negeri Johor.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membebaskan mana-mana banduan, termasuk Najib.
“Najib hanya boleh dibebaskan melalui proses undang-undang sedia ada seperti tamat hukuman, remisi atau parole jika layak, keputusan mahkamah atau proses pengampunan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Maka naratif “BN menang Johor = Najib bebas” hanyalah propaganda bodow PH.
“Kalau mereka betul-betul percaya kemenangan BN di Johor boleh bebaskan Najib, maksudnya mereka sendiri sedang mengaku kerajaan Madani di Putrajaya sudah tiada kuasa,” Katanya lagi
Beliau turut mengingatkan bahawa BN telah memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sejak tahun 2022, namun keadaan itu tidak membawa kepada pembebasan Najib.
“Sepanjang tempoh itu, adakah Najib dibebaskan? Tidak,” katanya.








