SHAH ALAM — PAS mengarahkan semua ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata arahan itu dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada calon UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada PN.
“PAS mengarahkan ahli dan penyokong mengundi calon UMNO atau BN di DUN yang tidak ditandingi PN.
“Saya yakin ahli PAS memahami betapa perlunya penyatuan ummah diteruskan dan PN ialah wadah ke arah penyatuan tersebut,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Khamis, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengumumkan PAS hanya akan bertanding 11 kerusi pada PRN Johor kali ini, berbanding 15 kerusi pada pilihan raya negeri sebelum ini.
Naib Presiden PAS itu berkata, pengurangan jumlah kerusi yang ditandingi bukan satu isu kerana keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pertimbangan semasa serta strategi terbaik menghadapi pilihan raya.
Sementara itu, Bersatu dalam majlis pengumuman calonnya memaklumkan parti itu akan bertanding di 16 kerusi.
Mengulas sama ada arahan berkenaan telah disampaikan kepada peringkat akar umbi, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mengesahkan perkara itu.
“Inilah yang ditegaskan. Jangan undi Pakatan Harapan (PH),” katanya.








