PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyemak semula kadar kuota tetap diesel bersubsidi bagi beberapa kategori kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan agihan subsidi lebih tepat serta memenuhi keperluan operasi sebenar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam bagi menilai perkembangan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api menerusi mekanisme BUDI Diesel, BUDI95, SKDS dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan beberapa penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan segala maklum balas rakyat diberi perhatian sewajarnya.
“Penambahbaikan ini akan dilaksanakan melalui strategi dan pendekatan yang mengambil kira faktor kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan subsidi serta kedudukan dan ruang fiskal negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi turun padang sempena pelaksanaan akses awal BUDI Diesel di sini hari ini.-Sinar Harian








