GEORGETOWN: Penasihat DAP, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memulangkan segera kekurangan peruntukan berjumlah RM2.8 bilion yang didakwanya dialami Pulau Pinang sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mengguna pakai formula ‘keadilan untuk semua’ dalam pengagihan peruntukan kepada setiap negeri selaras dengan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.
Merujuk kepada angka yang dibentangkan Anwar di Parlimen semalam, beliau berkata, Pulau Pinang menyumbang secara purata RM10.7 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025, namun hanya menerima RM7.9 bilion dalam bentuk peruntukan.
Menurutnya, Pulau Pinang bersama Selangor merupakan dua negeri yang menerima peruntukan Persekutuan lebih rendah berbanding jumlah sumbangan kewangan masing-masing kepada kerajaan dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata, Kedah yang menyumbang RM3.7 bilion menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM9.5 bilion, manakala Johor menyumbang RM14 bilion dan menerima RM16 bilion.
“Tiada justifikasi untuk Pulau Pinang menerima peruntukan lebih rendah berbanding Kedah sedangkan negeri ini menyumbang jauh lebih besar kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.








