TANGKAK: Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Johor memainkan peranan penting dalam memastikan momentum pentadbiran kerajaan perpaduan terus dikekalkan.
Berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi, beliau berkata sokongan rakyat Johor kepada PH penting bagi membuktikan gabungan itu mampu terus menerajui negara.
“Kalau kita nak kekalkan momentum ini, kalau kita nak kekalkan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Anwar Ibrahim di Putrajaya, Johor memainkan peranan penting.
“Kita harap rakyat Johor memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan, memberikan satu keputusan yang baik kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Anthony berkata dunia ketika ini sedang berdepan tekanan besar susulan krisis peperangan yang memberi kesan kepada jaminan bekalan minyak dan kenaikan harga bahan api di banyak negara.
Namun katanya, Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya memastikan bekalan minyak negara kekal terjamin.
“Hanya di Malaysia, kita pastikan bekalan minyak terjamin. Ini di bawah kepimpinan Dato’ Sri Anwar Ibrahim. Hanya di Malaysia, harga diesel boleh turun lima sen.
“Tak ada satu negara lain yang mampu membuatnya,” katanya.








