KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat membalas kritikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berhubung gelaran “paling Hollywood” yang dikaitkan dengan pemimpin yang didakwa lebih mengutamakan lakonan di media sosial berbanding tanggungjawab hakiki.
Menerusi hantaran di platform X, Syed Saddiq mendedahkan beliau memperoleh satu lagi “kerja sambilan” atau sesi penggambaran baharu, dengan hasilnya disumbangkan terus kepada kawasan Parlimen Muar.
“Alhamdulillah,Dapat kerja sambilan/shooting baru lagi. Saya sumbangkan terus RM115,000 ke Muar,” tulisnya.
Menurut Syed Saddiq, sumbangan itu digunakan bagi pembelian 1,000 bakul makanan dan 30 komputer riba untuk kawasan parlimennya di Johor.
“Dari pagi hingga petang di Parlimen, malam pula sambung kerja sambilan,” katanya secara berseloroh.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah bahawa baginda lebih menggemari pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab mereka serta menunjukkan keprihatinan tulen terhadap kebajikan rakyat.
“Sebelum membuat sebarang keputusan, buat penilaian terlebih dahulu kerana kita mempunyai ramai golongan ‘Hollywood’ dalam kalangan kita. Yang paling ‘Hollywood’ sekali adalah yang berada di Muar,” titah baginda, tanpa menyebut nama Syed Saddiq.
Baginda turut menegaskan tidak menggemari sikap “Hollywood” dan lebih mengutamakan individu yang menjalankan tugas dengan ikhlas serta memberi tumpuan penuh kepada kebajikan rakyat.
Kenyataan Syed Saddiq itu kemudian dilihat sebagai respons tidak langsung terhadap titah berkenaan, sambil beliau menegaskan hasil kerja sambilannya disalurkan kembali untuk manfaat penduduk Muar.- Malaysia Kini








