Pakatan Harapan (PH) hanya akan menentukan calon Menteri Besar Johor selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diketahui.
Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook, berkata perkara itu akan diputuskan oleh majlis tertinggi gabungan berkenaan selepas pilihan raya selesai.
Menurut Sinar Harian, fokus ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan calon-calon PH gabungan terlebih dahulu.
“Jadi soal Menteri Besar Johor akan dibincangkan di peringkat tertinggi PH, jadi setakat ini belum ada apa-apa pengumuman lagi,” katanya.
Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon N.42 Johor Jaya dan N.40 Tiram di Pusat Komuniti Harapan, Plentong, Johor Bahru, hari ini.
Pada majlis itu, Nor Zulaila Abd Ghani, 38, diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya manakala Lee Wern Yiing, 30, diumumkan sebagai calon bagi DUN Tiram.
Turut hadir ialah Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Wong Shu Qi.








