KUALA LUMPUR – Ketua Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali menafikan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz berkata, komen “Cina sesat” yang menjadi kontroversi itu hanya ditujukan kepada dua individu tertentu dan telah sengaja disalah tafsir oleh pihak tertentu.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik malam tadi, beliau menjelaskan hantaran Facebook yang dibuat pada Sabtu lalu adalah sebagai respon balas terhadap kenyataan bekas Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To dan pendedah maklumat rasuah, Albert Tei.
“Saya menegaskan bahawa hantaran asal di laman Facebook saya hanya sebagai respon balas kepada Eric See-To dan Albert Tei semata-mata.
“Perkara ini terbukti jelas dalam hantaran tersebut yang secara terang-terangan menyebut nama Lim Sian See dan Albert Tei, tanpa melibatkan mana-mana pihak lain,” katanya.
Terdahulu, hantaran Hisyamuddin yang telah disunting sebanyak dua kali bagi membuang perkataan “Cina” dan “balaci” mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.
Isu itu turut mendapat perhatian ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang yang mengkritik penggunaan istilah berkenaan dalam hantaran tersebut.- Malaysia Kini








