Korea Selatan memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kanan apabila menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi pembukaan di Guadalajara, hari ini.
Skuad Taegeuk Warriors menguasai sebahagian besar babak pertama, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang untuk membuka tirai jaringan.
Sebaliknya, Republik Czech terlebih dahulu mengejutkan lawan pada awal separuh masa kedua apabila Ladislav Krejci menanduk masuk gol pembukaan meskipun Korea Selatan lebih banyak menguasai permainan.
Korea Selatan terus menggandakan asakan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi Hwang In-beom. Pemain tengah itu tenang memperdayakan penjaga gol, Matej Kovar, sebelum melambungkan bola ke dalam gawang untuk mengikat kedudukan 1-1.
Republik Czech sempat sekali lagi membolosi gawang Korea Selatan, namun jaringan tersebut dibatalkan.
Hwang kemudian melengkapkan aksi cemerlangnya apabila mencipta gol kemenangan pada minit ke-80. Hantaran lintang yang dilakukannya dari sebelah kanan berjaya disudahkan pemain gantian, Oh Hyeon-gyu, untuk memastikan Korea Selatan meraih tiga mata berharga.
Kemenangan itu jelas membawa makna besar buat Korea Selatan apabila Son rebah ke padang dalam kegembiraan sejurus wisel penamat dibunyikan.- Buletin Tv3







