PAS menegaskan pendiriannya dalam membuat keputusan politik tidak berpaksikan kepada sentimen atau kepentingan jangka pendek, sebaliknya berdasarkan keupayaan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah yang diambil mungkin tidak menggembirakan semua pihak, namun ia merupakan “ubat pahit” yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar.
Menurutnya, perkara paling utama bagi PAS adalah agenda penyatuan ummah.
Beliau mendakwa, pendirian BERSATU dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang menentang kemasukan parti-parti seperti BERJASA, PEJUANG, IMAN dan PUTRA, walaupun kertas cadangan telah disiapkan, telah menjejaskan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini.
“Apabila BERSATU di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mengambil sikap menentang kemasukan parti-parti seperti BERJASA, PEJUANG, IMAN dan PUTRA walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut berkata, perkembangan melibatkan sikap BERSATU di Perlis dan Negeri Sembilan telah menjejaskan moral jentera PAS untuk terus bekerjasama dengan parti berkenaan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Tambahnya, kedudukan PAS dan BERSATU dalam PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan serta saluran yang sewajarnya.
“Sudah tentu PAS dan BERSATU tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam,” katanya lagi.








