BATU PAHAT – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempertahankan keputusan kerajaan Madani membenarkan pelajar Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) memasuki universiti awam, sambil menolak dakwaan bahawa langkah itu menjejaskan kedudukan atau hak orang Melayu.
Berucap pada pelancaran jentera Pakatan Harapan (PH) Johor 2026, beliau berkata kerajaan Perpaduan merupakan pentadbiran yang bersifat inklusif dan mewakili seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Beliau merujuk kritikan daripada Perikatan Nasional (PN) dan PAS terhadap keputusan kerajaan membenarkan pelajar UEC memasuki universiti awam.
Menurutnya, keputusan yang dibuat Anwar itu merupakan langkah berani yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini.
“PAS kata sebab Anwar takut kepada DAP. Sebab Anwar kalau tak buat ini, DAP tarik sokongan dan dia jatuh sebagai Perdana Menteri.
“Mereka kata kerana UEC ini kita bagi masuk universiti, hilang kuasa orang Melayu,” katanya.
Anthony kemudian mempersoalkan pendirian PAS berhubung sekolah vernakular Cina sekiranya parti itu membentuk kerajaan Persekutuan.
“Saya nak tanya orang Melayu. Kalau PAS memerintah Malaysia, adakah kamu akan tutup sekolah-sekolah Cina ini? Jawablah PAS. Berani tak mereka?”
“Apabila kerajaan Madani buat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berani buat apa yang bekas perdana menteri tak berani buat, mereka bantai Perdana Menteri,”katanya.







