Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan bahawa lembu yang ditembak selepas mengamuk ketika Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis baru-baru ini tidak diagihkan kepada penerima daging korban.
Sebaliknya, beliau berkata haiwan berkenaan diasingkan bagi mengelakkan sebarang polemik dan salah faham berhubung status lembu terbabit susulan insiden yang tular di media sosial.
Menurutnya, lembu yang terlibat dalam kejadian itu ialah lembu korban bernombor 22 daripada keseluruhan 25 ekor lembu yang disediakan untuk program berkenaan.
Abu Bakar berkata ketika kejadian berlaku beliau tidak berada di lokasi kerana pulang untuk menghantar isterinya ke rumah sebelum menerima panggilan daripada petugas yang memaklumkan seekor lembu terlepas dan mula mengamuk.
“Bila saya balik, mereka telefon kata, ‘tolong bos, ada lembu terlepas dan mula mengamuk’. Jadi saya turun semula ke lokasi.
“Sebelum tindakan (melepaskan tembakan) itu dibuat, saya pastikan kawasan itu selamat dan orang ramai tidak berada di kawasan tersebut,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Buletin TV3.








