KUALA LUMPUR — Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menjunjung kasih terhadap titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Raya Aidiladha 2026 yang disifatkan sebagai seruan penting untuk memperkukuhkan perpaduan umat, keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta kestabilan negara.
Dalam kenyataan dimuat naik di media sosial, beliau berkata titah Sultan Selangor hadir pada waktu yang amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup sentimen perkauman, memperalatkan isu agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit.
Semua pihak termasuk pembangkang perlu menghentikan amalan “selective loyalty” dengan hanya mempertahankan institusi raja, agama dan bangsa apabila ia menguntungkan kedudukan politik mereka.
Beliau turut mendakwa terdapat pihak yang bersikap membisu apabila institusi diraja dihina atau dicela oleh pihak luar.
Katanya, Malaysia dibina atas semangat muafakat, persefahaman pelbagai kaum serta keluhuran undang-undang, bukannya atas kebencian kaum atau ketakutan agama.
“Rakyat juga harus menjunjung kasih titah Tuanku Sultan untuk menghayati Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami latar belakang dan mukadimahnya,” menurut kenyataan itu.








