KUALA LUMPUR — Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya mendakwa pelbagai isu sensitif berkaitan kaum, bahasa, pendidikan dan agama di negara ini berpunca daripada pendirian serta perjuangan DAP.
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau berkata titah DYMM Sultan Selangor berhubung perpaduan rakyat seharusnya difahami dan dipatuhi semua pihak, lebih-lebih lagi apabila perkara itu telah diulang beberapa kali oleh baginda.
Namun, beliau mendakwa DAP sebagai sebuah parti berlatarbelakangkan cauvinis terus “bertembung” dengan institusi istana.
Beliau turut mempersoalkan pihak yang menurutnya lantang mempertahankan industri arak dan judi, pengiktirafan sijil UEC serta cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagaimana kita mahu memikirkan soal lebih besar khususnya aspek perpaduan nasional dan pembinaan negara bangsa sedangkan masih ada pihak yang suka mencarik perpaduan yang dibina sedikit demi sedikit,” katanya.








