KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh , tampil memohon maaf susulan kontroversi membabitkan pengucapannya baru-baru ini yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau merakamkan penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat serta orang ramai yang memberikan teguran, nasihat dan pandangan berhubung isu tersebut.
Menurutnya, beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan berkenaan.
“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya.
Nik Muhammad Zawawi turut menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan Allah SWT.
Katanya, tujuan asal kenyataan tersebut hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
Beliau turut mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu berkenaan dan menjelaskan bahawa perkara itu merupakan kekhilafan peribadinya, serta tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia atau kepimpinannya.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.








