Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengakui beliau masih menyimpan cita-cita untuk menjadi perdana menteri, namun tidak lagi terlalu terikat dengan hasrat tersebut yang disifatkannya sebagai “cita-cita sepanjang hayat”.
Dalam wawancara bersama Malay Mail, Khairy berkata tempoh tiga tahun berada di luar arena politik telah banyak mengubah pandangannya mengenai perkara itu.
Menurutnya, menjadi pemimpin politik sentiasa menjadi impiannya dan jawatan perdana menteri dianggap sebagai kedudukan terbaik untuk melakukan lebih banyak perkara serta membantu lebih ramai rakyat.
“Saya pernah merasakan saya tidak akan dianggap berjaya dalam hidup jika tidak menjadi perdana menteri.
“Kini saya rasa tidak mengapa jika saya tidak menjadi perdana menteri. Saya tidak akan menganggap diri saya gagal dan saya masih bernilai sebagai seorang insan,” katanya.
Khairy yang sebelum ini pernah dilihat sebagai pencabar kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau masih terbuka kepada kemungkinan untuk menjadi perdana menteri pada masa depan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak lagi tergesa-gesa dalam mengejar jawatan tertinggi negara itu.








