Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Jalaluddin Alias menafikan dakwaan bahawa beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk menjadi Menteri Besar susulan tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun.
Menurut Sinar Harian, pelantikan Menteri Besar bukan terletak di tangan UMNO, sebaliknya ditentukan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Ini bukan matlamat kita. Saya sudah pun menjadi exco kanan dan perbincangan kita bukan nak jadi Menteri Besar dan saya bukan nak jadi Menteri Besar,” katanya.
“Sesiapa saja boleh menjadi Menteri Besar, saya boleh, Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi) boleh, Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong) boleh. Jangan salah faham…,” katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Selasa.








