Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, membayar ganti rugi sebanyak RM750,000 kerana memfitnah tiga pemimpin kanan Democratic Action Party (DAP).
Menurut FMT ,Panel tiga hakim dipengerusikan Ahmad Kamal Shahid, bersama Evrol Mariette Peters dan Latifah Tahar, sebulat suara menolak rayuan wakil rakyat Kepala Batas itu.
Ketika menyampaikan keputusan, Kamal berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan berkenaan, sekali gus mengekalkan sepenuhnya penghakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bertarikh 4 Dis 2024.
Mahkamah bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos bagi kedua-dua rayuan dan rayuan balas tersebut.
Siti Mastura sebelum ini didapati memfitnah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mengaitkan mereka dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, melalui dakwaan hubungan kekeluargaan dalam satu ceramah politik di Kemaman, Terengganu pada 4 Nov 2023.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memihak kepada ketiga-tiga pemimpin tersebut dengan memberikan ganti rugi RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Kok.
Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon, turut memerintahkan Siti Mastura membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif, berserta faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman.








